Selasa, 20 November 2012

Lebih 60 keluarga bimbang ancaman gajah liar


BALING — Lebih 60 keluarga di Kampung Padang, Rambong, Batu 7 dekat sini kini dalam kebimbangan akibat sekumpulan gajah liar berkeliaran di kawasan kampung mereka terutama di waktu malam sejak seminggu lepas.
Penduduk kampung mendakwa walaupun ada anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) meninjau kawasan yang dimusnahkan gajah tetapi hingga kini tiada sebarang tindakan dibuat, seperti mengusir gajah berkenaan kembali ke rimba berdekatan.
Tinjauan mendapati kebimbangan penduduk di sini mempunyai asas kerana gajah berkenaan memusnahkan pokok pisang yang terletak tidak sampai 50 meter di belakang sebuah rumah penduduk kampung.
Hingga kini, lebih 50 pokok termasuk pisang, kelapa, rumbia dan pinang dimusnahkan oleh kumpulan gajah itu.— BERNAMA

Ahli Pas Baling kecewa wakil rakyat tak jenguk


SELEPAS pilihan raya umum ke-12 lalu hingga ke hari ini kami penduduk kampung berdekatan Kampung Batu 7, Jalan Baling-Pengkalan Hulu tidak menerima sebarang janji seperti yang dijanjikan kerajaan Pakatan Rakyat Kedah semasa berkempen dalam pilihan raya umum lepas.

Berbagai janji yang dihamburkan dengan manis kepada kami terutama kepada ahli Pas supaya terus memberikan sokongan kepada calon Parlimen Pas di Baling bagi menegakkan syiar Islam dan pembangunan di daerah Baling.

Tetapi hingga ke hari ini kami ahli-ahli Pas masih tertunggu-tunggu janji yang diberikan kepada kami sebelum ini, malah setiap kali berlaku bencana seperti banjir dan ribut kami kecewa kerana pemimpin Pas di peringkat atasan tidak nampak muka langsung.

Kami amat kecewa kerana tidak ada satu pun janji yang ditunaikan termasuk yang kami kesalkan kerajaan Pas Kedah menaikkan harga air dengan kadar yang begitu tinggi.

Dulu kata nak sejahterakan rakyat, tetapi kini kami yang mengundi calon Pas turut menderita akibat kerajaan Pas Kedah tidak langsung menunaikan apa-apa pun janji yang mereka buat malah setiap kali berlaku bencana, kami terpaksa menadah tangan untuk menerima bantuan daripada wakil rakyat UMNO, walaupun malu tetapi kami terpaksa juga ambil.

Ke manakah perginya pemimpin Pas kawasan Baling seperti Ustaz Taib Azamuddin Mohd. Taib, Cikgu Johari Abdullah dalam lain lain kepemimpinan Pas kawasan ini?

Sambutan hari raya Aidil Fitri lalu kami ahli-ahli Pas yang ditakrif sebagai keluarga susah juga tak dapat apa-apa bantuan, malah duit zakat yang sepatutnya kami terima juga kami tak dapat. Beginikah sejahterakan Kedah kalau kepimpinan Pas mengamalkan sikap pilih kasih seperti ini?

Kepada Ahli Parlimen Baling, kerap-keraplah jenguk kami di kawasan yang memerlukan bantuan YB, bukannya rumah kami jauh sangat dari rumah YB, tetapi YB tak pernah jenguk pun. Masa berkempen dulu YB sanggup berulang kali datang memujuk kami untuk bantu sokong Pas, tetapi hari ini kami sukar sekali nak jumpa YB.

Kami rakyat miskin mudah ditipu, tetapi kami juga mampu mengubah keadaan bila sampai masanya, bila kami sudah tersedar dan merasa kami tertipu.

Kepada Ahli Parlimen Pas Baling, jenguklah kampung kami yang tidak jauh dari rumah YB iaitu Kampung Rambong, Kampung Kaki Bukit, Kampung Batu 7 dan Kampung Padang yang masih ketinggalan jauh berbanding kampung lain yang banyak menerima nikmat dari kerajaan Barisan Nasional kerana mereka tidak tersalah pilih dalam pilihan raya umum lepas.

Untuk pengetahuan YB, kampung Kaki Bukit menderita setiap kali berlaku banjir. Muka YB tak kelihatan. Apabila berlaku ribut pun muka YB tak nampak. Malangnya kami kerana tersalah pilih...

ANAK TOK MUDIM
Baling

Selasa, 7 Ogos 2012

En Umat Bin Yaakob (Jkkkp Kaki Bukit)





Penduduk bingung pelbagai usaha halau gajah liar gagal

BALING: Penduduk Kampung Kaki Bukit, Rambong Batu Tujuh di sini bingung apabila pelbagai usaha mereka dan pihak berkuasa gagal menghalau sekumpulan gajah liar yang memusnahkan tanaman mereka sejak Khamis lalu.
Mereka mendakwa sudah melakukan pelbagai usaha, termasuk berjaga malam bagi mengawal kebun penduduk, selain melepaskan tembakan ke udara bagi menghalau haiwan liar itu, tetapi ia kembali dan memusnahkan tanaman mereka.

Takut gajah mengamuk

BALING: Penduduk Kampung Kaki Bukit, Rambong Batu Tujuh, dekat sini, bimbang keselamatan mereka jika sekumpulan gajah yang berkeliaran di hutan berhampiran hingga merosakkan tanaman, kembali mengamuk.
 

Setakat ini, penduduk kampung difahamkan tidak berani lagi keluar untuk menoreh getah kerana bimbang haiwan itu mengamuk.

Mereka mendakwa pelbagai usaha dilakukan untuk menghalau gajah itu termasuk menggunakan tembakan senapang patah ke udara, mercun dan meriam karbaid untuk menghalau haiwan berkenaan, tetapi tidak berhasil.

Malah, gajah itu semakin berani apabila masuk ke kampung pada malam kelmarin dan turut memusnahkan tanaman penduduk termasuk pisang, durian, dokong, kelapa, nenas dan getah.

Penduduk kini terpaksa berjaga malam sejak beberapa minggu lalu untuk menghalau gajah liar itu yang dipercayai lima sekawan yang berkeliaran di hutan berdekatan kawasan kampung.

Penduduk, Fakrulrazi Ahmad, 45, berkata semua tanaman pisang di kebunnya musnah sama sekali dibaham gajah itu dalam beberapa kejadian sebelum ini dan terbaru, malam kelmarin.

Menurutnya, dia kini tidak berani ke kebun untuk menoreh getah akibat terlalu bimbang berlaku kejadian tidak diingini jika diserang gajah itu.

“Sudah lebih sebulan, saya dan penduduk lain tidak menoreh getah kerana takut serangan gajah liar berkenaan yang dipercayai datang dari hutan Gunung Inas yang bersempadan dengan Hulu Perak.
 
“Malah, saya meminta pihak berkenaan menangkap gajah itu untuk dipindahkan ke kawasan lain kerana semakin banyak berkeliaran di kebun hingga menjejaskan mata pencarian,” katanya.

Penduduk, Othman Md Noor, 43, berkata pelbagai usaha untuk menghalau gajah itu termasuk bantuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dilakukan tetapi gagal.


“Saya bimbang berlaku kejadian tidak diingini dan rata-rata penduduk mulai ketakutan untuk ke kebun menoreh getah kerana bimbang terserempak dengan haiwan itu yang masih berada di kawasan hutan berhampiran.

“Saya juga meminta pihak berkaitan turun padang melawat kampung ini dan membantu penduduk kerana terpaksa berjaga siang dan malam untuk mengelakkan gajah itu memusnahkan tanaman,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) kampung itu, Omar Yaakob, 56, berkata penduduk terpaksa bersengkang mata setiap malam untuk menghalau gajah itu sejak sebulan lalu.

Menurutnya, kumpulan gajah terbabit masih dilihat berkeliaran serta turut memusnahkan tanaman penduduk sehingga malam kelmarin walaupun menghalaunya dengan melepaskan tembakan ke udara.

Beliau juga berharap Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bayu, Salleh Yaakob turun padang membantu penduduk menyelesaikan masalah berkenaan.

“Sepatutnya wakil rakyat masuk dan memberi bantuan untuk penduduk yang berjaga siang malam termasuk memberi peluru senapang, sebaliknya penduduk berpakat mengutip wang sendiri,” katanya