Selasa, 7 Ogos 2012

Penduduk bingung pelbagai usaha halau gajah liar gagal

BALING: Penduduk Kampung Kaki Bukit, Rambong Batu Tujuh di sini bingung apabila pelbagai usaha mereka dan pihak berkuasa gagal menghalau sekumpulan gajah liar yang memusnahkan tanaman mereka sejak Khamis lalu.
Mereka mendakwa sudah melakukan pelbagai usaha, termasuk berjaga malam bagi mengawal kebun penduduk, selain melepaskan tembakan ke udara bagi menghalau haiwan liar itu, tetapi ia kembali dan memusnahkan tanaman mereka.


Terbaru, haiwan itu datang lagi awal pagi kelmarin dan merosakkan tanaman.

Gajah terbabit dikatakan hanya lari sekejap ke dalam hutan berhampiran kampung dan datang semula pada waktu awal pagi dan memusnahkan pelbagai tanaman penduduk di kampung itu, termasuk pisang, durian, dokong, getah dan nanas.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kaki Bukit, Omar Yaakob, 56, berkata sejak kejadian Khamis lalu mereka terpaksa bersengkang mata setiap malam untuk menghalau gajah itu.
"Sehingga malam tadi (kelmarin) gajah itu berkeliaran di kawasan kebun penduduk walaupun kami menghalau dengan melepaskan tembakan ke udara.

"Gajah itu lari sekejap saja ke hutan dan datang semula awal pagi menyebabkan banyak tanaman penduduk kampung musnah," katanya kepada Berita Harian.

Omar berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) juga membantu menghalau gajah itu dengan melepaskan tembakan sehingga kehabisan peluru, tetapi gajah itu masih berani datang ke kebun penduduk.

Seorang penduduk, Othman Md Noor, 52, berkata penduduk kampung tidak tahan lagi dengan masalah itu kerana habis tanaman mereka dimusnahkan, sedangkan mereka sudah banyak mengeluarkan modal mengusahakan kebun berkenaan.

"Kami terpaksa berbelanja lagi membeli benih pokok yang baru bagi menggantikan tanaman yang dimusnahkan," katanya.

Dalam kejadian Khamis lalu, lebih 2,000 tanaman penduduk, termasuk pisang, getah, durian dan dokong milik penduduk dimusnahkan oleh sekumpulan lima ekor gajah membabitkan keluasan lebih enam hektar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan